Back To Top
Untitled Document
Untitled Document

Untitled Document

 
 

 

 
 
PERUTUSAN YANG BHG DATO’ SRI ABD GHAFAR BIN MAHMUD
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
SEMPENA
HARI ANTIDADAH KEBANGASAAN

19 FEBRUARI 2012

 

Assalammalaikum Warahmutullahi Wabarakatuh, Selamat Sejahtera Dan Salam 1 Malaysia.

 

Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana atas limpah kurnia-Nya maka dapat kita berhimpun bagi mengadakan sambutan Hari Anti Dadah Peringkat Kebangsaan.  Pada setiap tahun, tanggal 19 Februari, kita akan mengadakan sambutan ini bertujuan menunjukkan bahawa kita masih komited untuk meneruskan usaha memerangi gejala dadah daripada terus berleluasa.  Komitmen untuk membendung ancaman dadah ini perlu diteruskan bagi memastikan bangsa dan negara kita bebas daripada ancaman musuh nombor satu negara ini

 

Justeru, sempena Hari Antidadah Kebangsaan ini, saya ingin mengajak semua pendidik bersama-sama memerangi penyalahgunaan dadah secara habis-habisan.  Semoga usaha-usaha yang dilaksanakan oleh warga pendidik ini akan dapat merealisasikan agenda kerajaan iaitu Sekolah Bebas Dadah Tahun 2012 dan Negara Bebas Dadah Tahun 2015.

 

Bagi merealisasikan aspirasi murni ini, pihak pentadbiran sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) perlu memastikan semua sekolah di negara ini bebas dadah melalui pelaksanaan program-program bersifat pencegahan di peringkat sekolah daerah dan negeri.

 

Pada tahun 2012, visi KPM adalah ke arah sekolah bebas dadah.  Oleh itu, KPM telah merancang dan melaksanakan Program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) di peringkat sekolah di seluruh negara.  Tindakan pencegahan dan membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan murid dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti kependidikan yang berfokus kepada pembinaan jati diri murid.  Melalui aktiviti yang berfokus, diharapkan akan terbina disiplin kendiri yang kental dan utuh serta budi pekerti mulia dan terpuji dalam diri setiap murid.

 

Faktor utama yang menentukan kejayaan Program Pendidikan Pencegahan Dadah sangat bergantung kepada komitmen murid-murid sendiri.  Komitmen murid menghayati segala nilai murni sepanjang berada di bangku sekolah merupakan benteng yang ampuh bagi memerangi najis dadah.  Pelaksanaan aktiviti-aktiviiti pendidikan bukan sahaja bermatlamat membanteras penyalahgunaan dadah tetapi turut membuka peluang keapda murid-murid untuk menonjolkan bakat dan potentsi diri masing-masing melalui pelbagai aktiviti yang disediakan.

 

KPM amat menyedari bahawa masalah penyalahgunaan dadah pada hari ini semakin rumit dan telah melibatkan semua peringkat umur termasuklah golongan remaja dan murid-murid sekolah.  Keadaan ini menjadi lebih serius disebabkan pengeluaran pelbagai jenis dadah termasuk dadah tiruan yang semakin bertambah.   Di samping itu, kes-kes penyeludupan dan pengedaran dadah juga semakin berleluasa seperti yang didedahkan dalam media massa.  Keadaan ini menyebabkan murid sekolah sentiasa terdedah dan berada dalam keadaan berisiko untuk turut terlibat.  Ini bermakna semua pihak perlu memainkan peranan secara bersungguh-sungguh dalam usaha memerangi gejala ini daripada terus berleluasa dan bermaharajalela.

 

Oleh yang demikian, saya menyeru agar semua pihak mempergiat usaha secara berterusan dalam memberikan pendidikan pencegahan awalan kepada murid.  Saya percaya bahawa usaha-usaha tersebut mampu membimbing mereka untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan dadah.  Pencegahan Penyalahgunaan Dadah dalam kalangan murid sekolah mempunyai kaitan rapat dengan usaha KPM untuk meningkatkan lagi taraf dan kualiti pendidikan.  Sesungguhnya, murid-murid hari ini adalah generasi pemimpin negara pada masa depan yang perlu memiliki kualiti tinggi dalam aspek pemikiran analitik, kritis, kreatif dan seterusnya mampu membuat keputusan dan menyelesaikan pelbagai masalah.

 

Walaupun KPM menetapkan visi “Sekolah Bebas Dadah Tahun 2012” tetapi Perancangan Pendidikan Pencegahan Dadah Jangka Panjang terus dilaksanakan.  Ini bermakna Pendidikan Pencegahan Dadah perlu diteruskan kerana saban hari dan setiap masa murid-murid kita akan sentiasa terdedah kepada gejala ini.  Dalam hal ini, semua warga pendidikan perlu memainkan peranan masing-masing untuk memastikan tidak ada seorang pun warga sekolah terlibat dengan dadah.  Pengurus sekolah, perlu melihat gejala penyalahgunaan dadah sebagai perkara yang serius dan perlu sentiasa diberi perhatian.  Sesungguhnya, mencegah adalah lebih baik daripada mengubatinya.  Kita tidak boleh membiarkan masalah dadah mengganggu-gugat proses pembelajaran, keselamatan dan kesejahteraan murid-murid di sekolah.

 

Matlamat aktiviti Pendidikan Pencegahan Dadah di sekolah bertujuan memberi pengetahuan, kesedaran dan keinsafan keapda murid, guru, kakitangan pendidikan dan ibu bapa tentang bahaya penyalahgunaan dadah.  Aktiviti yang dilaksanakan di semua sekolah bagi memastikan warga sekolah berusaha menjauhi ancaman dadah.  Saya sedar tugas dan tanggungjawab memerangi masalah dadah ini amat berat dan mencabar.  Oleh itu, penglibatan dan kerjasama daripada pelbagai agensi harus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.  Ini adalah kerana pelaksanaan Pendidikan Pencegahan Dadah amat memerlukan kerjasama yang bersepadu dengan pelbagai agensi seperti Agensi Antidadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

 

Akhir kata, sekali lagi saya menyeru kepada semua warga pendidikan agar sentiasa berusaha dan menyokong usaha kerajaan untuk menghapuskan gejala negatif ini.  Semoga dengan kerjasama daripada semua pihak dalam memerangi penyalahgunaan dadah ini akan dapat memastikan generasi muda kita bebas daripada pengaruh dadah.  Sesungguhnya, usaha yang kita laksanakan ini adalah untuk kebaikan dan kesejahteraan keluarga, masyarakat dan negara.

 
 
Untitled Document
SJK CHUNG HUA PUJUT, MIRI 美里埔奕中华公学 SJK CHUNG HUA PUJUT, MIRI 美里埔奕中华公学 SJK CHUNG HUA PUJUT,MIRI 美里埔奕中华公学  
 
SJK CHUNG HUA PUJUT, MIRI @ COPYRIGHT 2011
 
Untitled Document